suria

Kehilangan Kerusi Parlimen Sibu, Amaran Kepada BN Sarawak

SIBU: Kegagalan Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di kawasan Parlimen Sibu pada pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lepas mungkin sesuatu yang mengejutkan bagi orang luar tetapi bukannya kepada penduduk setempat yang telah membuat keputusan lebih awal dan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan mengundi lawan BN.

Ramai penduduk Sibu tidak berpuas hati dengan pemimpin politik setempat tertentu yang mereka rasa gagal menyelesaikan masalah mereka secara efektif dan tidak mampu menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Mereka jelas tidak gembira dengan keadaan ekonomi yang semakin menyusut di bandar pinggir sungai ini yang merupakan pintu masuk ke daerah pedalaman, sehingga mendorong semakin ramai berhijrah untuk mencari kerja di bandar dan negeri lain.

"Saya tidak faham kenapa kami di Sibu yang mempunyai tanah yang luas tidak mampu membawa masuk pelaburan untuk mewujudkan lebih banyak kerja untuk penduduk. Kami telah kerugian selama ini. Apa yang kami tahu ialah sesetengah rumah ahli politik semakin hari semakin besar," kata seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali melalui nama keluarganya Wong.

Selain itu, katanya penduduk mahu melihat lebih banyak institusi pendidikan didirikan di Sibu, sama ada kampus cawangan atau institusi penuh kerana ini akan dapat membantu penduduk menjimatkan kos daripada perlu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di tempat lain.

"Kami tidak kisah sama ada kampus cawangan atau kolej dan universiti penuh ditubuhkan di Sibu. Apa yang kami mahu ialah menjimatkan kos dengan tidak perlu menghantar anak kami melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di tempat lain. Jika Miri dan Kuching ada kemudahan itu, kenapa tidak Sibu?" katanya.

Kuching dan Samarahan mempunyai cawangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa kampus universiti dan kolej swasta manakala di Miri terdapat kampus Universiti Curtin.

Juga tidak mengejutkan apabila faktor penentu dalam pilihan raya kecil Sibu ialah undi penduduk di kawasan bandar, dan bukannya undi penduduk di kawasan luar bandar yang sentiasa memihak kepada BN dalam tiga pilihan raya berturut-turut yang lepas.

Pada kali ini, apabila peti undi dari pusat-pusat pengundian di kawasan bandar dibuka, undi diberikan kepada DAP. Apabila pengiraan selesai, undi untuk calon DAP Wong Ho Leng adalah sekali ganda lebih banyak daripada yang diperoleh calon BN Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Kemenangan pakatan pembangkang ternyata lebih manis kepada DAP setelah 28 tahun berlalu dengan yang terakhir ia menang di kerusi itu semasa Ling Sie Ming mengalahkan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai dari SUPP.

Di sebalik hujan lebat pada malam keputusan itu diumumkan, ribuan penyokong DAP berkumpul di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Sibu di sini untuk meraikan kemenangan calon mereka.

Menurut penganlisis politik kelahiran Sarawak Profesor James Chin, pengundi telah memberikan mesej jelas kepada kepimpinan negeri iaitu mereka mahu melihat perubahan drastik.

Chin berkata faktor lain (punca kekalahan BN) ialah pengundi di kawasan bandar, kebanyakannya Cina, mula menjangkakan lebih banyak lagi daripada SUPP, yang mereka anggap sebagai sebuah parti yang tidak melakukan perubahan dan gagal memenuhi aspirasi pengundi muda.

Ahli akademik Universiti Monash Malaysia itu berkata keputusan pilihan raya kecil itu juga merupakan petunjuk kepada peningkatan kesedaran politik di kalangan pengundi bandar.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata keputusan itu menunjukkan BN tidak berbuat secukupnya untuk memenangi hati dan minda penduduk, khususnya kaum Cina.

"BN perlu menyelami hati sanubari dan kehendak penduduk Sibu, khususnya kaum Cina dan menunjukkkan keikhlasannya dalam usaha menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah mereka.

"Hati sanubari dan kehendak amat penting dan BN perlu memberikan tumpuan terhadap aspek ini supaya tindakan boleh diambil untuk membantu rakyat, khususnya penduduk di bandar, bukan dilihat daripada sudut negatif. Memenangi hati dan minda adalah amat penting," katanya semasa dihubungi BERNAMA di sini.

Lebih-lebih lagi ia membabitkan isu setempat seperti pengangguran, mitigasi banjir dan Tanah Adat, yang menjadi kebimbangan utama pengundi di sini, kata Jeniri.

Mungkin apa yang paling diperlukan BN sekarang, sepertimana ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah perlunya ada semangat baru dan tekad untuk menawan kembali kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya kecil itu, kekuatan BN di kawasan luar bandar kekal utuh kerana penyokong tradisinya masih memberikan sokongan padu.

BN juga boleh berasa sedikit lega kerana walaupun kebanyakan pengundi di bandar memilih calon pakatan pembangkang, 32 peratus daripada pengundi Cima masih memilih BN. Wong memperoleh 18,845 undi untuk menang dengan majoriti 398 undi, mengalahkan Hui Yew yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas Narawi Haron hanya memperoleh 232 undi dan hilang deposit.

Najib, yang berapa kali datang ke Sibu semasa tempoh berkempen, menyatakan antara faktor kekalahan BN ialah pendekatan yang diguna pakai oleh jentera pilihan raya BN, yang menurutnya masih menggunakan cara lama berkempen.

Beliau berkata mereka sepatutnya mereka menggunakan pendekatan lebih kreatif dan agresif dalam menjalankan kempen.

Artikel Berikut

Artikel Lain