suria

Tiga Pengarah Bebas Pertuduhan Kemuka Pernyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan seorang bekas pengarah urusan dan dua ahli lembaga pengarah syarikat Satang Holdings Berhad daripada tuduhan mengemukakan pernyataan palsu di dalam laporan suku tahunan syarikat itu antara Februari dan November 2007.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Datuk Jamaluddin Hassan, 50, Hakim Sukirman, 51, dan Gan Chin Sam, 52, masing-masing menghadapi empat pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Komathy dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Chong Loong Meng gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Katanya mahkamah tidak mempercayai keterangan daripada dua saksi pendakwaan iaitu pengarah eksekutif kewangan dan pengurus besar kewangan syarikat itu, yang dulu dikenali sebagai Satang Jaya Holdings Berhad, mengendalikan perniagaan penyelenggaran pesawat tempatan dan alat-alat keselamatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, 50200 Kuala Lumpur, pada 28 Feb hingga 30 November 2007.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain