suria

SPRM Tangkap 236 Orang 4 Bulan Pertama 2010

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)menangkap 263 orang dari Januari hingga April lepas kerana terbabit dengan rasuah, kata Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya Mustafar Ali.

Daripada jumlah itu, katanya 128 tangkapan melibatkan penjawat awam manakala 135 tangkapan adalah orang awam dan sektor swasta.

"Daripada jumlah itu pula 60 pertuduhan diambil tindakan di mahkamah," katanya kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Zainul Darus menyerahkan tugas kepada penggantinya Hishamuddin Hashim.

Hishamuddin sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya manakala Zainul akan bertukar ke Pulau Pinang sebagai Timbalan Pengarah SPRM di negeri itu.

Katanya berdasarkan perangkaan itu, ia menunjukkan bahawa tangkapan terhadap penjawat awam terus menurun sejak empat tahun kebelakangan ini manakala tangkapan terhadap orang awam meningkat. "Ini bermakna, kempen dan gerakan untuk menangani masalah pemberi rasuah di kalangan penjawat awam telah semakin berjaya," katanya.

Bagi Negeri Sembilan, Mustafar berkata 178 tangkapan dilakukan sejak 2005 hingga April 2010, dengan 85 daripadanya melibatkan penjawat awam, 91 sektor swasta dan dua ahli politik.

Katanya 79 pemberi rasuah ditangkap di seluruh negara dari Januari hingga April lepas, dengan nilai sogokan RM500 hingga RM35,000. Daripada jumlah itu, 21 tangkapan melibatkan warga asing. -BERNAMA

Artikel Lain