suria

PBTM Akan Bekerjasama Dengan SPR Isu Daftar Pemilih

KOTA BAHARU: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha mendaftarkan rakyat yang layak sebagai pengundi.

Presidennya Datuk Mohamad Ghani berkata pihaknya akan menggerakkan anak-anak anggota persatuan itu yang masih menganggur untuk membantu SPR dalam usaha tersebut.

"Kita mahu anak-anak anggota persatuan yang baru tamat pengajian atau yang masih menganggur menjadi anggota sukarela membantu SPR dalam usaha menarik lebih ramai menjadi pemilih," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah SPR Kelantan Ab Rahim Md Salleh yang antara lain berkata badan itu sedang menjalankan pelbagai kempen menggalakkan rakyat Kelantan mendaftar sebagai pemilih termasuk melantik lebih ramai penolong pendaftar.

"Ini juga sebagai tindak balas persatuan kepada kerajaan yang banyak menolong anggotanya melalui penubuhan Perhebat dan Tabung Kebajikan Anggota Tentera," kata Mohamad.

Selain itu Mohamad turut menyarankan agar 50 bekas anggota tentera di setiap kawasan Parlimen ditugaskan sebagai penolong pendaftar bagi membantu SPR mendaftar pengundi baru. -BERNAMA

Artikel Lain