suria

PAS Desak Choo Keong Letak Jawatan

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju (DPPWM) hari ini mendesak Wee Choo Keong meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju, ekoran tindakannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jumaat lalu.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Wangsa Maju, Rohizad Aznan menyifatkan tindakan wakil rakyat berkenaan sebagai ‘pengkhianat’ kerana tidak menghormati pendirian pengundi di kawasan Parlimennya yang telah memilih beliau sebagai wakil mereka pada pilihan umum ke-12 (PRU 12), Mac 2008. “DPPWM mendesak Choo Keong meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju agar satu pilihan raya kecil dapat diadakan dalam waktu terdekat untuk memilih wakil rakyat baru yang lebih berintegriti dan berwawasan, bukannya seseorang yang mudah dibeli dengan kebendaan dan tidak mempunyai maruah diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohizad juga mencabar Choo Keong meletakkan jawatannya dalam waktu terdekat sekiranya beliau benar-benar bermaruah.

"DPPWM menyarankan agar PKR lebih berhati-hati dalam memilih calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"PKR juga disarankan agar mentarbiyyahkan ahli-ahlinya supaya setia kepada kepimpinan dan parti walau dalam apa jua keadaan. DPPWM juga sedia membantu dalam proses mentarbiyyah ahli jika diperlukan,” katanya.

Jelasnya, DPPWM bersedia berjuang bersama-sama dengan PKR dalam menghadapi PRK atau PRU yang akan datang.

Beliau mendakwa tindakan wakil rakyat Wangsa Maju itu meletakkan jawatan amat diragui kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa ketika kempen Pilihan Raya Kecil P212 Sibu sedang hangat berlangsung.

“DPPWM juga bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh PKR Cabang Wangsa Maju melalui timbalannya iaitu Buhairi Yaakob bahawa tindakan Choo Keong itu ada kaitan dengan agenda peribadi sesuatu pihak yang tidak senang yang dengan PKR dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Jumaat lalu, Choo Keong mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat(PKR) kerana kesal dengan kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan berhubung skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Katanya beliau setakat ini tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi anggota Parlimen Bebas.

Choo Keong menyertai PKR tahun lepas atas pujukan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan sebelum ini memegang beberapa jawatan seperti timbalan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan ahli majlis tertinggi parti.

Pada PRU 12 beliau bertanding atas tiket PKR dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yew Teong Lok dengan majoriti 150 undi.

Artikel Lain