suria

Australia Usir Tokoh Ulama Iran Atas Faktor Keselamatan

MELBOURNE: Menteri Imigresen dan Kerakyatan Australia Senator Chris Evans berkata beliau bertindak demi kepentingan negara ketika memutuskan seorang tokoh ulama Iran supaya meninggalkan negara itu atas alasan risiko keselamatan.

Menurut laporan Australian Associated Press, Evans berkata beliau tidak akan campur tangan bagi pihak Dr Sheikh Mansour Leghaei, yang menjadi subjek penilaian keselamatan yang bahaya oleh agensi perisikan Australia, ASIO.

Ulama itu yang tinggal di Sydney sudahpun dinafikan visa tetap oleh Jabatan Imigresen dan Kerakyatan dan kemudian memohon supaya Evans campur tangan dalam kes itu.

"Ramai orang mengatakan sokongan mereka kepada Dr Leghaei dan faham bahawa keputusan saya akan mengecewakan rakan dan sahabat dia di komuniti setempatnya," kata Evans.

"Hakikatnya dia merupakan subjek penilaian keselamatan yang bahaya," katanya.

Isteri ulama tersebut, Marzeih Tabatabaei Hosseini dan anak lelakinya, Mohammad Ali Leghaei, telahpun diberikan taraf penempatan tetap selepas menteri itu campur tangan dalam kes mereka.

"Puan Hosseini boleh tinggal di Australia bersama anak-anaknya di mana tiga daripada mereka sudah menjadi warga Australia," katanya.

Sheikh Leghaei sudah diberikan visa sementara bagi membolehkannya membuat aturan untuk meninggalkan Australia.

Sejak kali pertama menerima penilaian keselamatan itu pada Ogos 1997, Sheikh Leghaei mengemukakan kesnya kepada beberapa badan termasuk Tribunal Semakan Imigresen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang dianggap sebagai seorang ahli Syiah berhaluan sederhana dan telah tinggal selama 16 tahun di Australia.

ASIO mula menghubungi dia pada 1995, sebaik sahaja dia kembali dari bercuti di Iran, dengan membawa wang tunai AS$10,000, yang didakwanya sebagai sumbangan derma oleh Pusat Pengembangan Islam di Tehran. - BERNAMA

Artikel Lain