suria

Tiga Suspek Curi Kereta Diberkas Di Ampang

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang dipercayai terbabit mencuri kereta di sekitar Ampang sejak sebulan lepas, ditahan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini malam tadi.

Mereka ditahan kira-kira 8.30 malam ketika sedang meleraikan komponen kereta di kawasan parkir kondominium berkenaan.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata mereka yang kesemuanya berasal dari Kota Baharu, Kelantan dan berumur lingkungan 30-an merupakan penyewa di Kondominium Impian Selatan itu.

"Ketika ditahan, mereka sedang meleraikan komponen tiga buah kereta curi jenama Mercedes, Wira dan Honda Civic di satu sudut terpencil di kawasan parking kereta di kondominium itu.

"Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan ini menjadikan tempat letak kereta kondominium terbabit sebagai tapak sementara untuk meletakkan kenderaan yang dicuri, sebelum komponen-komponen kereta berkenaan dijual," katanya.

Abdul Jalil berkata kesemua suspek kini sedang ditahan.

Beliau juga berkata indeks jenayah di Ampang menurun 11 peratus dari 1 Januari hingga 15 Mei lalu, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Mei lalu, sebanyak 2,576 kes jenayah direkodkan berbanding 2,888 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas" katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain