suria

Kedutaan Malaysia Belum Aktifkan Pelan Pemindahan

BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Thailand belum mengaktifkan pelan pemindahannya kerana keadaan sekarang belum memerlukannya berbuat demikian, kata Duta Besar Datuk Husni Zai Yaacob hari ini.

"Kami telah sediakan rancangan luar jangkaan bagi menghadapi keadaan lebih buruk, tetapi sekarang, keadaan masih terkawal.

"Sekarang ini, tak ada huru-hara dan tidak wujud sebarang suasana perang," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata pertempuran selama empat hari antara tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan yang meragut 24 nyawa dan mencederakan 200 orang setakat ini, hanya berlaku di kawasan tertentu di Bangkok dan bukan di seluruh bandar raya ini, manakala wilayah lain juga tidak terjejas.

Orang masih boleh keluar untuk membeli-belah, katanya.

Husni berkata pada masa ini terdapat 300 rakyat Malaysia di ibu kota Thailand ini yang berdaftar dengan kedutaan itu, 250 daripada mereka adalah pemastautin di sini manakala selebihnya adalah pelancong.

Katanya kedutaan itu beroperasi seperti biasa, termasuk pusat operasi 24 jamnya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan atau ingin membuat pertanyaan, boleh menghubungi pusat operasi itu melalui talian 026 296800.

Kedutaan Malaysia terletak di South Sathorn Road, beberapa kilometer dari tempat berlakunya tunjuk perasaan.

Husni menasihati rakyat Malaysia supaya lebih berwaspada dan mengelak daripada mendekati kawasan tunjuk perasaan di pusat bandar raya ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain