suria

Bayi Lelaki Lapan Bulan Mati Dipercayai Didera

PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan,yang dipercayai didera oleh pengasuhnya, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata, Mohd Rayyan Afzanizam, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM sejak Jumaat lepas, disahkan meninggal dunia pada 8 malam tadi.

"Mohd Rayyan dibawa ke PPUM pada Selasa lalu selepas pengasuhnya mendapati Mohd Rayyan sesak nafas sebelum menghubungi ibu bapa bayi berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi itu mengalami pendarahan di otak. "Namun, kita masih belum mendapat laporan bedah siasatan berhubung punca sebenar kematian bayi berkenaan," katanya. Susulan itu, polis menahan pengasuh wanita berusia 47 tahun itu di rumahnya di USJ Subang Jaya hari ini untuk membantu siasatan.

"Pengasuh itu direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di PPUM mendapati ibu bapa bayi berkenaan menunggu di Unit Forensik pusat perubatan itu tetapi gagal mendapatkan reaksi mereka berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain