suria

TPM Puji Langkah Kerajaan Sarawak Mudahkan Pembayaran Cukai Tanah

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji langkah kerajaan Sarawak memudahkan lagi cara pengiraan kadar bayaran pembaharuan pajakan tanah di negeri ini.

Katanya keputusan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam ini berkenaan isu tanah itu berkuatkuasa mulai 1 Jun ini sebagai satu langkah bijak.

"Keputusan ini telah dibuat demi untuk kepentingan rakyat di Sarawak, khususnya di Sibu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Minggu Perpaduan Sarawak di Dataran Bandar Sibu malam tadi.

Menyentuh sambutan Minggu Perpaduan itu, Muhyiddin berkata rakyat pelbagai kaum di sini tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Taib berkata keputusan berkenaan bayaran pembaharuan pajakan tanah itu dibuat hasil maklum balas yang diterima oleh Jabatan Tanah dan Ukur negeri.

Katanya hasil kajian semula berkenaan pajakan itu membolehkan bayaran pembaharuan cukai tanah di Sarawak sebagai yang paling rendah di Malaysia.

Beliau mencabar kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan DAP, PAS dan PKR untuk cuba menurunkan kadar cukai tanah negeri mereka supaya lebih rendah daripada Sarawak jika mereka mampu.

"Mereka kerapkali membantah pengenaan cukai tanah di Sarawak. Sekarang sudah dapat memerintah negeri, cubalah batalkan. Di mana mereka dapat cari hasil untuk mentadbir nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain