suria

Seorang Anggota Tentera Maut, Lima Lagi Cedera

KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera maut manakala lima lain termasuk dua anggota wanita cedera apabila trak mereka dinaiki terbalik di Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke) dari arah Gombak menghala ke Jalan Duta dekat sini petang tadi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata dalam kemalangan pukul 6.45 petang itu, mangsa, Abdul Mutalib Katap, 42, dari kem tentera Kantonmen, Jalan Ipoh, di sini, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa tercampak dari kenderaan. Trak yang dinaiki lima orang itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan makanan ke Kem Serendah," katanya. Abdullah berkata kejadian itu berlaku apabila salah satu tayar trak itu pecah menyebabkan trak itu hilang kawalan dan terbalik.

Katanya dua anggota wanita itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan manakala dua lagi dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Lain