suria

Polis Pulau Pinang Tahan 30 GRO Warga China

PULAU PINANG: Tiga puluh pelayan pelanggan (GRO) warga China dan seorang lelaki penjaga premis pusat hiburan ditahan dalam satu serbuan di Pulau Tikus, di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata semua wanita berumur lingkungan 20-an disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit, dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

"Seorang lelaki tempatan, dipercayai penjaga premis itu berumur lingkungan 40-an, dan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 55B iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ayub berkata serbuan pada pukul 1.15 malam semalam dilakukan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Timur Laut.

"Serbuan malam tadi dilakukan selepas polis membuat intipan selama beberapa hari, selain mendapat maklumat orang awam mengenai aktiviti di premis yang dijadikan sebagai disko, karaoke dan bar dan sering mengambil wanita warga asing sebagai GRO," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata Polis Pulau Pinang menerima tambahan anggota seramai 400 pegawai polis dari Bukit Aman, yang akan di tempatkan dalam Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Katanya anggota tambahan itu akan beroperasi di kawasan panas khususnya di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Lain