suria

Najib Catat Sejarah Lawat Rejang Park

SIBU: Datuk Seri Najib Tun Razak mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama melawat Rejang Park di sini malam ini, kawasan yang sekian lama dianggap kubu kuat parti DAP.

Beliau memberitahu penduduk, yang hadir untuk mendengar ceramah menjelang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu esok, bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya amat mempercayai konsep dalam Gagasan 1Malaysia.

"Di bawah 1Malaysia, kami mahu bekerjsama rapat dan sebab itu saya datang ke Rejang Park kerana saya adalah perdana menteri untuk semua masyarakat," katanya pada sesi bertemu rakyat di kawasan penempatan kos rendah terawal di bandar ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri George Chan, Menteri Kemajuanr Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew.

Walaupun penduduk di situ menyokong pembangkang, Najib, berkata beliau mahu mereka hanya mendengar satu kisahnya iaitu 1Malaysia.

"BN adalah kerajaan yang hanya bercakap dalam satu bahasa kepada penduduk Sibu. Saya ingin membuktikan kepada anda bahawa tidak salah untuk mempunyai sedikit masalah atau tidak kepuasan tetapi ini adalah permulaan baru kerana kami mendengar suara anda," katanya.

Perdana Menteri berkata jaminannya adalah untuk membantu semua masyarakat kerana inginkan Malaysia menjadi sebuah negara kuat dan maju pada abad ke-21, impian yang tidak mustahil.

"Kerajaan telah membuktikan, misalnya, apabila pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini adalah 10.1 peratus, menjadi landasan untuk pencapaian yang lebih tinggi untuk tahun ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

"Insya-Allah dalam masa 10 tahun lagi, kita mampu mencapai status negara maju (2020) dengan pendapatan tinggi dan ia tidak kesampaian sekiranya penduduk Melayu, Cina, Iban, Kadazandusun dan India tidak bersama sebagai satu keluarga dalam perjalanan itu," katanya.

Katanya, bagaimanapun, Malaysia tidak akan menjadi negara sejahtera kecuali wujud keharmonian dan satu cara sahaja untuk perpaduan pelbagai kaum etnik itu adalah dengan tidak berbohong, mengatakan sesuatu kepada satu masyarakat dan mengatakan perkara berbeza kepada lain.

Kemudian ketika berucap di Sibu Gateway, di sini, Najib berkata kejayaan negara mencapai pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini mencerminkan keberkesanan langkah dalam pakej rangsangan ekonomi.

Ketika beberapa negara termasuk di Eropah masih belum pulih dari kegawatan ekonomi, Malaysia kini kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain