suria

Bekalan Gula Di Langkawi Mencukupi

LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Langkawi memberi jaminan bekalan gula di pulau ini mencukupi.

Ketua Cawangan KPDNKK Langkawi Azmi Dan berkata sebanyak 20 tan metrik gula akan dibawa masuk ke pulau ini selewat-lewatnya Isnin ini.

"Kita menasihatkan peniaga supaya tidak mengehadkan jualan gula kerana bekalan gula adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Pengguna di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat peniaga di Langkawi mengehadkan pembelian gula kepada satu atau dua kilogram bagi setiap pengguna kerana takut bekalan gula tidak mencukupi.

Azmi berkata mengikut rekod, sebanyak 200 tan metrik bekalan gula dibawa masuk ke pulau ini bulan lepas manakala keperluan di Langkawi hanya 140 tan sebulan. -BERNAMA

Artikel Lain