suria

Samy Vellu Enggan Komen Kerana Fakta Diputar Belit

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu enggan melayan soalan wartawan berhubung beberapa isu sensitif dalam parti dengan mendakwa apa sahaja yang dikatakannya akan diputar belit.

Sidang akhbar Samy Vellu yang kebiasaannya menarik perhatian hari ini menjadi sebaliknya semasa beliau bertemu media selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti (CWC) dengan beberapa soalan wartawan hanya dibalas dengan tiada komen.

Dengan semangat berkobar-kobar, yang merupakan gaya kebiasaannya semasa menjawab soalan terutama yang menyentuh masalah parti, bekas Menteri Kerja Raya itu hanya mendiamkan diri, menyebabkan wartawan, kebanyakannya yang membuat liputan ke atasnya sejak beberapa tahun sebelum ini, menjadi hairan.

"Ini cara baru saya kerana apa sahaja yang saya katakan diputar belit. Semua orang membuat pelbagai kesimpulan kepada apa sahaja yang saya jawab. Jadi saya memilih untuk bercakap mengenai perkara yang mustahak dalam forum parti yang sesuai sahaja.

"Saya bukan menentang media. Saya sentiasa dikenali sebagai orang yang rapat dengan orang media. Tapi apabila apa yang saya kata diputar belit, jadi saya terpaksa kurang bercakap dan menjelaskan kepada anggota MIC apa yang saya ingin beritahu mereka," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat CWC di ibu pejabat parti di sini.

Sebelum itu, pemimpin yang telah lama berkhidmat dengan MIC ditanya mengenai reaksi beliau di atas pemecatan Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam yang lebih dikenali sebagai Barat Maniam.

"Tiada komen," merupakan jawapannya yang diikuti dengan siri jawapan yang sama kepada soalan berikutnya.

Subramaniam dipecat oleh presiden semalam, antara lain kerana mengirim SMS yang tidak menyenangkan kepada Samy Vellu memberitahu pemimpin parti itu bahawa MIC bukan milik beliau dan keluarganya.

Kemudian timbul pertanyaan mengenai cadangan pengambilalihan Maika Holdings oleh jutawan pengendali pelabuhan, Tan Sri G. Gnanalingam, melalui G Team Resources dan Holdings Sdn Bhd.

"Tiada komen. Ini merupakan keputusan syarikat," merupakan jawapan ringkas dan hambar beliau tanpa melihat wajah wartawan yang mengajukan soalan.

Semalam, G Team Resources menyerahkan notis pengambilalihan kepada lembaga pengarah Maika Holdings bagi memperoleh kesemua 125 juta saham untuk membolehkannya mengundi pada 80 sen sesaham.

Kemudian ini yang berlaku. Adakah kamu akan meletak jawatan pada 2012?, wartawan itu bertanya dan Samy Vellu membalas balik:" Tiada komen".

Tempoh Samy Vellu menjadi presiden akan tamat pada 2012 dan tekanan terus diberikan ke atas pemimpin MIC yang berumur 74 tahun itu yang menjadi pemimpin parti pada 1989 untuk mengosongkan kerusi bagi timbalan presidennya sekarang Datuk G. Palanivel.

Samy Vellu juga enggan mengulas berhubung tindakan anggota CWC, K.P. Samy, yang sebaik mesyuarat berakhir memberitahu wartawan bahawa beliau akan memulakan satu prosiding fitnah ke atas ketua pemuda MIC T. Mohan kerana menggelarkannya sebagai budak-budak semasa mesyuarat CWC.

Walaupun niat Samy Vellu untuk kekal dengan polisi baru "tiada komen" akan menghentikan fakta diputar belit, sebaliknya ia menghangatkan lagi spekulasi berhubung beberapa masalah parti terutama peralihan kuasa, yang perlu dijelaskan kepada 630,000 anggota MIC. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain