suria

Saksi Anggap Duit Diterima Di Majlis Doa Selamat Sebagai Duit Minyak

TEMERLOH: Dua saksi dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menganggap wang tunai yang diterima pada majlis yang mereka hadiri sebagai "duit minyak".

Jalaluddin Johan, 55, berkata wang tunai RM300 yang diterimanya di majlis doa selamat dan tahlil di rumah Naib Ketua Umno Temerloh, Mohammad Anuar Yunus pada 20 Jan 2009 yang turut dihadiri Mohamad Norza, sebagai menampung duit minyak kereta untuk pergi dan balik dari rumahnya di Lanchang ke rumah Mohammad Anuar di Temerloh .

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris, siapa dan bila dia menerima wang berkenaan, Jalaluddin yang juga ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh berkata wang berkenaan diberikan oleh bekas bendahari Umno Bahagian Temerloh Norinda Osman (lelaki) sebaik sahaja dia mahu berangkat pulang ke rumah.

Saksi ke-17 itu berkata dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia menggunakan RM50 daripada wang itu bagi mengisi minyak dan sebanyak RM100 digunakannya untuk membelanja kawan-kawannya makan malam manakala RM150 lagi diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah diarahkan berbuat demikian. Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac tahun lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari tahun lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Sementara itu, seorang lagi saksi, pembantu penerangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang, Mohd Sabri Aziz, 45, juga menganggap wang yang diterimanya daripada Norinda selepas majlis doa selamat di rumah Mohammad Anuar hanyalah duit minyak.

Ketua Umno Cawangan Kampung Rantau Panjang, Temerloh itu berkata duit tersebut berkemungkinan digunakannya untuk membayar perubatan anaknya di klinik kerana duit itu telah bercampur dengan duitnya di dalam dompet.

Katanya duit RM300 yang diterimanya itu bagaimanapun diserahkan kepada pihak SPRM ketika dia disoal-siasat pada sebelah malam pada 20 Jan 2009.

Ketika disoal peguam Halimi, Jahaberdeen Mohd Yunoos mengapa dia memberikan duit itu kepada SPRM, Mohd Sabri berkata itu kerana pegawai yang menyoalnya menanyakan tentang duit yang diterimanya ketika di rumah Mohammad Anuar dan meminta dia menyerahkannya sekiranya tidak mahu dikenakan tahanan reman atau bermalam di lokap.

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain