suria

PGM Patahkan Cubaan Seludup Minyak Sawit Mentah

SANDAKAN: Polis Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya menumpaskan satu sindiket menyeludup minyak sawit mentah dengan rampasan sebanyak 3 tan bahan itu dari sebuah jongkong di perairan laut Sundang dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Sandakan DSP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata nilai minyak sawit mentah yang dirampas itu dianggarkan RM30,000 dan juragan jongkong itu, seorang lelaki warga Filipina berusia lingkungan 30-an serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri juga ditahan.

Katanya jongkong tersebut yang mempunyai nombor pendaftaran di daerah ini diperiksa kira-kira pukul 10.30 pagi di kawasan perairan kira-kira 2 batu nautika dari sini.

"Juragan jongkong itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan mengangkut atau memunggah minyak sawit mentah yang dibawanya itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati jongkong itu telah diubah suai untuk menyimpan tangki di dalamnya bagi memuatkan minyak sawit mentah itu.

Mohammad Roy berkata kes itu disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b) Akta Lembaga Minyak sawit Malaysia yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya ini merupakan rampasan pertama membabitkan jongkong membawa minyak sawit mentah kerana operasi mengangkut bahan itu biasa dilakukan dengan menggunakan lori. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain