suria

Muhyiddin Minta Penjawat Awam Laksana Dasar Kerajaan Berlandaskan 1Malaysia

SIBU: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penjawat awam supaya mengutamakan semangat 1Malaysia dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan termasuk yang digariskan dalam pelan transformasi kerajaan dengan lebih cekap dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri berkata penjawat awam merupakan barisan pertama yang diberi tanggungjawab menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat berdasarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Penambahbaikan dalam perkhidmatan sektor awam akan memastikan rakyat akan menikmati sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan cepat," katanya dalam satu pertemuan dengan penjawat awam negeri dan persekutuan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Muhyiddin juga mengingatkan penjawat awam supaya bersikap kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas mereka.

Dalam satu acara lain, beliau menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM1.12 juta untuk enam projek pembangunan umat Islam di sini. Daripada jumlah itu, RM500,000 adalah untuk Sekolah Rendah Agama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (Lakis), RM540,000 untuk empat projek melibatkan masjid dan surau dan RM80,000 untuk Perkim.

Upacara penyampaian cek itu berlangsung selepas solat Jumaat di Masjid An-Naim di sini. Turut bersolat di situ ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin menyampaikan bantuan berjumlah RM365,000 yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk lapan sekolah kerajaan di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain