suria

Dua Lelaki Ditahan Bersabit 15 Kes Samun

KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan 15 kes samun jalanan yang berlaku di sekitar Brickfields ekoran penahanan dua lelaki di Bukit Jalil di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dua lelaki itu yang masing-masing berusia 30 dan 24 tahun ditahan pada pukul 3.45 petang kerana disyaki menyamun seorang wanita berusia 52 tahun di Bangsar.

"Wanita itu yang berjalan kaki berseorangan ditahan sebuah kereta Mazda sebelum tiga lelaki terbabit melarikan dua utas rantai dan sepasang subang emas milik mangsa.

"Dalam kejadian pada pukul 5 petang di Bangsar itu, mangsa turut mengalami kecederaan yang teruk di kedua-dua cuping telinga akibat subang emas yang dipakainya direntap suspek," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, polis menahan kedua-dua suspek terbabit manakala seorang lagi rakan mereka yang berumur 30 tahun masih bebas.

Susulan penahanan kedua-dua lelaki itu, polis menemui kereta Mazda yang ditinggalkan suspek di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di San Peng.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, kami menemui pelbagai alatan samun dan pecah rumah seperti pemotong besi, tukul, gergaji besi dan pahat. Kami juga menemui semula seutas rantai emas milik mangsa," katanya.

Wan Abdul Bari berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan kumpulan itu juga terlibat dalam 15 kes samun di sekitar Brickfields.

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain