suria

Sharizat Bantah Ujian Kehamilan Ke Atas Peserta PLKN Wanita

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dn Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam berkata kementeriannya membantah ujian kehamilan dijalankan sebagai keperluan bagi semua pelatih wanita dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata ini kerana ia membabitkan isu privasi sebagai perkara dasar. Oleh itu, beliau meminta Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) untuk menimbangkan semula cadangan kementerian bagi memperkenalkan modul kesihatan reproduktif dalam kurikulum PLKN.

Beliau menjelaskan mengikut undang-undang sedia ada, sebarang prosedur yang membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.

"Saya amat bimbang dengan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak. Adalah malang jika wanita muda melahirkan anak di dalam situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sebagai respons terhadap satu laporan berita hari ini bahawa seorang pelatih berumur 18 tahun yang melahirkan anak di dalam tandas di kem Ovai di Papar, Sabah.

Berikutan insiden itu, MLKN mencadangkan untuk mewajibkan ujian kehamilan bagi pelatih wanita pada masa akan datang.

Katanya kementerian akan terus menyokong pandangan bahawa mendidik generasi muda mengenai reproduktif dan kesihatan sosial adalah penting bagi memberikan pengetahuan dalam hubungan yang sihat dan mengelak kehamilan remaja.

Katanya cadangan untuk memperkenalkan modul itu pada mulanya dicadangkan pada 2008 dan diluluskan Kementerian Pertahanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain