suria

Rokok Kretek Setengah Juta Ringgit Dirampas, Tiga Lelaki Ditahan

PUCHONG: Polis menahan tiga lelaki yang sedang leka memunggah beberapa kotak rokok kretek dipercayai barang seludup dari sebuah lori ke dalam sebuah premis yang dijadikan stor di Taman Bukit Puchong di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Zainal Rashid Abu Bakar ketiga-tiga lelaki berumur sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang ketika sedang memunggah kotak-kotak tersebut dari sebuah lori lima tan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam stor itu polis menemui 550 kotak besar yang mengandungi rokok jenis 12 batang, dan 149 lagi kotak kecil dari jenis yang sama.

"Ketika serbuan terdapat 30 kotak besar lagi di dalam lori itu. Rokok-rokok yang dirampas ialah berjenama Sompo, Oki dan Zen yang dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya pada sidang media di Balai Polis Bukit Puchong di sini.

Beliau berkata kesemua rokok yang dirampas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM509,800 sebelum cukai itu akan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.

Zainal Rashid berkata ketika serbuan ketiga-tiga lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang berduti dan barang belum lulus Kastam.

Sementara itu di Johor Baharu, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua merampas 250 karton rokok kretek yang cuba diseludup masuk ke dalam negara di jeti nelayan Sungai Buntu, Penerok, dekat Pontian, malam tadi.

Komander Markas PGM Wilayah Dua ACP Mohd Khamsani Abd Rahman berkata kesemua rokok bernilai RM7,500 itu dirampas selepas anggota PGM Kukup, Pontian, terserempak dengan beberapa orang yang sedang memunggah barang ke darat di jeti berkenaan, kira-kira pukul 8.45 malam.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua mereka melarikan diri ke dalam hutan bakau dan meninggalkan barangan yang dipunggah. Usaha mengesan kesemua mereka gagal kerana keadaan cuaca yang gelap dan hutan bakau yang tebal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya selepas diperiksa pihaknya menemui empat guni yang mengandungi 150 karton rokok Dji Sam Soe dan 100 karton rokok Gudang Garam, yang dipercayai dibawa dari negara jiran.

Beliau berkata kesemua rokok dan bot berserta satu enjin sangkut itu dibawa ke Markas Taktikal PGM Kukup untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1(e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain