suria

Polis Tahan Dua Lelaki Terlibat Tiga Kes Samun Dan Pecah Rumah

JOHOR BAHARU: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun dan pecah rumah di sekitar bandaraya selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Semangat, Kempas, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas polis menerima aduan dari seorang peniaga mengenai kejadian pecah masuk di pejabatnya di Taman Perindustrian Maju Jaya, di sini, pada pukul 9 pagi, hari yang sama.

"Dalam kejadian itu peniaga tersebut mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas kehilangan sebuah komputer riba dan wang tunai," katanya kepada pemberita di Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat polis berjaya mengesan kedua-dua mereka yang terbabit, yang terdiri daripada seorang lelaki rakyat tempatan dan pendatang asing tanpa izin, bersembunyi di dalam sebuah rumah di Kempas.

Katanya selepas diperiksa polis menemui pelbagai barang yang dipercayai hasil samun dan peralatan pecah masuk termasuk tiga telefon bimbit, tiga parang, dua komputer riba, satu set kunci, dua kuku kambing, tiga alat pemain video, tiga jam tangan dan empat alat pemotong besi.

Mohd Mokhtar berkata kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini direman sehingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain