suria

Peguam Anwar Hampir Didakwa Hina Mahkamah, Bekas Ratu Trek Muncul Dalam Perbicaraan

KUALA LUMPUR: Hari ketiga pemeriksaan balas saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir menyebabkan peguam utamanya Karpal Singh didakwa menghina mahkamah.

Bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Mumtaz Jaafar juga muncul sekejap pada tengah hari untuk dikenal pasti oleh Mohd Saiful, yang merupakan bekas pembantu Anwar.

Perbicaraan hari ini bermula pukul 9.15 pagi dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan bagi mendapatkan keterangan Mohd Saiful.

Semalam, Karpal Singh berhujah bahawa dokumen itu diperlukan kerana terdapat percanggahan antara keterangan Mohd Saiful dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

"Saya setuju dengan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin bahawa walaupun Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan walaupun Mohd Saiful mendakwa bahawa insiden itu bukan atas kerelaan ia tidak boleh menjadi asas sebagai firasat untuk menyatakan bahawa keterangan itu bercanggah dengan testimoninya di mahkamah dan oleh itu mereka perlu diberikan kepada pihak pendakwaan untuk tujuan pemeriksaan balas atau untuk pendakwaan," katanya.

Karpal mendakwa bahawa pihak pendakwaan mengetahui mengenai hasil selepas itu dan ini menyebabkan Mohamad Zabidin marah dan menangguhkan prosiding bagi mempertimbang kemungkinan menghina mahkamah.

Apabila mahkamah bersidang semula, Karpal Singh menjelaskan bahawa Mohamed Yusof, yang mengetuai pasukan pendakwaan, telah menyiapkan hujahan balas berhubung permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan prosiding bagi memfailkan rayuan.

Mohamed Yusof membalas bahawa beliau perlu bersedia bagi sebarang perkembangan.

"Apabila pihak lain memfailkan pemohonan, saya terpaksa menjangka dan bersedia bagi sebarang perkara yang akan berlaku. Alhamdulillah, saya dapat melakukannya dan mujur, saya melakukannya dengan betul," katanya.

Hakim menolak permintaan Karpal Singh untuk penangguhan tetapi pada sebelah tengah hari, beliau membenarkannya selepas Karpal Singh memfailkan permohonan rasmi bersama-sama dengan afidavit Anwar.

Mohamed Zabidin juga memberikan masa kepada Karpal Singh untuk menyediakan hujahan balas sebelum mahkamah bersidang semula pada 3.45 petang.

Perbicaraan bersambung esok bagi kedua-dua belah pihak mengemukakan perkara itu.

Mohd Saiful dipanggil sekali lagi pada sebelah tengah hari dan diminta untuk mengenalpasti bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Mumtaz Jaafar dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum itu, Mohd Saiful memberi keterangan bahawa beliau berjumpa Mumtaz dan Khairil Anaz sebelum ini dan beliau pergi berjumpa bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Noor, pada 27 Jun, 2008, untuk mengadu mengenai penganiayaan yang berlaku kepadanya.

Mohd Saiful, 25, berkata, seorang rakan yang bernama Rahimi dan bapa saudaranya, Tuah Mohamad yang membawanya berjumpa Mohamad Ezam di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Ketika ditanya Karpal Singh sama ada beliau mengenali Mohamad Ezam sebelum itu, Mohd Saiful berkata, beliau hanya kenal Mohamad Ezam begitu sahaja sebagai kawan.

Bekas pembantu khas Anwar itu memberitahu mahkamah bahawa pertemuan dengan Mohamad Ezam pada lewat malam itu hanya berakhir keesokan paginya.

Mohd Saiful berkata, beliau pernah ke pejabat Najib ketika beliau Timbalan Perdana Menteri pada Januari 2008 untuk mendapatkan surat sokongan untuk pinjaman pelajaran bagi mengikuti kursus sebagai kadet juruterbang di Kota Baharu.

"Ketika itu saya tidak jumpa TPM dan hanya berjumpa dengan pegawai khas beliau," katanya.

Kepada soalan lain oleh Karpal adakah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ada menghubungi beliau, Mohd Saiful menjawab beliau yang menghubungi Musa.

Karpal: Kenapa telefon dia?

Mohd Saiful: Nak mengadu masalah saya.

Karpal: Banyak masalah bukan?

Mohd Saiful: Memang saya banyak masalah.

Karpal: Ada jumpa dia?

Mohd Saiful: Contact (hubungi) sahaja.

Karpal: Bila?

Mohd Saiful: Pada 25 Jun 2008, sebelah pagi.

Karpal: Kamu contact dia untuk ceritakan masalah kamu bukan?

Mohd Saiful: Ya, tapi saya hanya bercakap selama seminit dan dimarahi oleh KPN kerana mungkin dia ingat panggilan main-main dan beliau meletakkan telefon. Beliau juga mengingatkan saya untuk tidak menelefonnya lagi.

Mohd Saiful, 25, mendakwa Anwar, 63, meliwatnya di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain