suria

Pakar Dalam Negara Mampu Beri Rawatan Terbaik Kepada Sultan Kelantan

KOTA BARU: Empat persatuan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyatakan keyakinan mereka terhadap kemampuan dan kepakaran doktor dalam negara ini untuk memberi rawatan terbaik kepada Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra.

Pengerusi Persidangan Pengetua Maahad Yayasan Islam Kelantan Tajuddin Mamat yang mewakili empat persatuan itu, berkata berpegang kepada "setiap penyakit ada ubat", pihaknya sentiasa mendoakan agar dipulihkan kesihatan dan kesejahteraan Sultan Kelantan manakala Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra juga dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.

"Kami mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Tuanku Sultan. Kami juga berikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan Pemangku Raja sebagai pemerintah yang berdaulat di negeri ini," katanya melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini.

Persatuan-persatuan itu terdiri Persidangan Pengetua Maahad Yayasan Islam Kelantan, Persatuan Guru-guru Agama Bantuan Kerajaan Kelantan, Persidangan Pengetua-pengetua Tahfiz Yayasan Islam Kelantan dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Agama (A) Bantuan Yayasan Islam Kelantan.

Tajuddin berkata pihaknya menaruh keyakinan Pemangku Raja Kelantan telah dan akan mengambil tindakan yang betul dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan Sultan Kelantan.

Beliau juga percaya Pemangku Raja Kelantan telah melaksanakan tugas dengan adil di samping mengharapkan Sultan Kelantan segera sembuh dan kembali menjalankan tugas dengan adil.

"Apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja Kelantan itu kerana amat menyayangi ayahanda baginda selaku Sultan dan Yang Dipertua negeri ini yang sedang gering," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain