suria

Lelaki Mati Lemas Kerana Elak Ditangkap Polis

KUALA LUMPUR: Gara-gara ingin melarikan diri dari diberkas polis, seorang lelaki mati lemas apabila nekad terjun ke dalam sebuah tasik buatan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, lelaki terbabit yang berumur 19 tahun bertindak terjun ke dalam tasik manakala beberapa lagi rakannya melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

"Lelaki itu merupakan suspek yang dikehendaki polis kerana melakukan samun ke atas seorang wanita warga emas di Taman Mastiara, Jinjang, 9 April lepas.

"Ada penduduk yang mengecam wajah suspek yang dipaparkan media sebelum ini. Mereka (penduduk) kemudian menghubungi polis memaklumkan mengenai suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, jarak antara suspek dan polis iaitu kira-kira 50 meter menyebabkan polis tidak dapat menahan dan menghalang suspek daripada bertindak terjun ke dalam tasik.

"Ketika itu, suspek sedang melepak bersama empat hingga lima rakannya di tebing tasik. Melihat kehadiran van polis, suspek bertindak lari ke arah jeti dan terjun ke dalam tasik," katanya.

Zakaria berkata, polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

"Melihat suspek terkapai-kapai lemas, kami terus menghubungi bomba bagi menyelamatkan suspek. Mayatnya ditemui anggota bomba kira-kira sejam selepas itu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, polis kini memburu rakan suspek untuk siasatan lanjut dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain