suria

Laporan Polis Ekoran Dakwaan Tengku Anis Dikasari

KOTA BARU: Majlis Setia Rakyat (MSR) Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung insiden dakwaan kekasaran anggota polis terhadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada 4 Mei lalu.

Laporan berkenaan dibuat oleh Naib Presiden Penaja MSR, Maimun Latif, 43, di Balai Polis Kota Baru kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Ketika ditemui, beliau yang mewakili semua ahli MSR di seluruh negeri berkata, pihaknya mahu agar siasatan dan tindakan diambil bagi menyiasat mengenai insiden berkenaan.

"MSR membuat laporan polis agar siasatan dan tindakan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat yang memberi arahan secara langsung atau tidak langsung jika ada terhadap perilaku kekasaran ke atas Raja Perempuan Kelantan seperti yang dipaparkan media," katanya di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu yang memetik sumber istana melaporkan bahawa pihak Istana Mahkota kesal dengan penafian polis Kelantan berhubung insiden kekasaran terhadap kerabat Diraja Kelantan yang mahu menziarahi Sultan Kelantan di di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Selasa minggu lalu.

Malah sumber istana itu turut mendakwa polis mengasari Tengku Anis ketika baginda ingin memasuki wad.

Akhbar berkenaan turut menyiarkan beberapa keping gambar kecederaan yang kononnya dialami Tengku Anis bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Selain itu, menurut Maimun pihaknya sebagai rakyat mahu siasatan segera dijalankan bagi mengetahui kedudukan sebenar dakwaan berkenaan.

"Kami sebagai rakyat berhak untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sebalik laporan berkenaan," katanya.

Maimun juga berkata, insiden kekasaran terhadap Raja Perempuan Kelantan telah memberi gambaran buruk terhadap institusi beraja di negara ini.

"Pada pandangan saya, kejadian tersebut memberi gambaran buruk, hina, menjatuhkan maruah, martabat serta darjat kesultanan dan kerabat diraja Kelantan," katanya.

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain