suria

Krisis Istana Kelantan: Kawalan Ke Atas Ramli Masih Dipertingkatkan

KOTA BARU: Masuk hari ke-12 pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd. 50, yang parah ditembak dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), polis masih mempertingkatkan kawalan keselamatan di wad berkenaan.

Difahamkan sehingga kini pihak polis masih belum merakamkan percakapan Ramli bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Isteri mangsa, Maznah Mustafa, 50, berkata, anggota polis membuat kawalan ketat di wad berkenaan bagi memastikan keadaan suaminya yang semakin pulih berada dalam keadaan yang selamat.

"Polis kawal di sini 24 jam, ada dua orang polis jaga pintu masuk dan periksa setiap pelawat yang masuk ke dalam wad.

"Mereka bergilir-gilir mengawal di sini setiap empat...kita pun rasa selamat, ahli keluarga sendiri pun polis akan periksa untuk pastikan setiap yang masuk adalah orang yang dikenali," katanya ketika ditemui di luar wad berkenaan semalam.

Pada 1 Mei lalu, Ramli parah selepas ditembak empat individu yang tidak dikenali semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas di Istana Negeri Kubang Kerian di Palekbang kira-kira pukul 12.20 pagi.

Mangsa adalah pesara tentera yang berkhidmat secara kontrak sebagai pengawal keselamatan di Istana Mahkota dan Istana Negeri sejak 17 tahun lalu, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, antara tugasnya ialah mengawal keselamatan keluarga diraja.

Sehingga kini dilaporkan polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an, dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Selain itu Maznah yang ditemani tiga daripada lima orang anaknya berkata, kesihatan suaminya menunjukkan perubahan yang semakin baik dan memberansangkan.

"Alhamdulillah, suami saya dah semakin pulih, dia dah boleh bergerak dan menegur kami sekeluarga bila kami masuk melawat.

"Tapi kesan daripada tembakan dan selepas pembedahan keluarkan peluru menjadikan dia masih lemah, doktor juga nasihatkan kami supaya tak banyak bercakap dengannya dan biarkan dia berehat dengan secukupnya," katanya.

Maznah juga memberitahu suaminya sempat bertanyakan cucu sulung mereka yang kini berusia lima bulan.

"Dia ada tanya cucu lelaki sulungnya, dia memang sayangkan cucunya itu, tapi sebab cucu kami itu baru lima bulan... tak bolehlah nak bawak masuk melawat," katanya lagi.

Ditanya mengenai harapnnya dalam kes yang membabitkan suaminya itu, Maznah berkata: "Kami serahkan semuanya kepada pihak berkuasa untuk buat yang terbaik.

"Yang penting bagi kami sekeluarga ialah supaya suami saya selamat dan kembali sihat seperti biasa.

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain