suria

JPJ Perhebat Gerakan Kesan Kenderaan Thai Salah Guna Permit ICP

KUALA KRAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan memperhebatkan gerakan bagi memastikan pemilik kenderaan dari Thailand tidak menyalah guna Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) yang dikeluarkan pihak berkuasa, untuk mengangkut barang-barang dagangan.

Pengarahnya Abdul Ghani Che Kassim berkata beliau sudah mengarahkan bahagian penguatkuasaan JPJ supaya meningkatkan rondaan di jalan-jalan yang sering dilalui kenderaan itubagi tujuan itu.

"Gerakan ini dijalankan serentak dengan Ops Chemate yang dilancarkan sejak Mac lepas di mana kami mengawasi kenderaan yang melakukan kesalahan di jalan raya di seluruh negeri," katanya kepada Bernama selepas mendengar taklimat bersama dengan pegawai JPJ Kelantan mengenai operasi berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya sejak Ops Chemate dilancarkan 1 Mac lalu, 4,260 kenderaan Thailand diperiksa dan 72 daripadanya dikenakan tindakan saman kerana pelbagai kesalahan di bawah akta JPJ.

Beliau berkata kebanyakan kesalahan yang dikesan membabitkan perbuatan menyalahguna permit ICP di mana ada antara pemandu kenderaan pikup atau van menggunakan kenderaan mereka untuk membawa barang-barang untuk diniagakan.

Abdul Ghani seterusnya menafikan sama sekali dakwaan sesetengah pihak kononnya pihaknya tidak bertindak tegas terhadap kenderaan Thailand yang menyalahguna permit ICP. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain