suria

Dua Kanak-Kanak Lemas Dalam Tali Air

ALOR SETAR: Dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun dipercayai mati lemas semasa bermain dalam tali air di Kampung Sematang, Kerpan, kira-kira 35 kilometer dari sini, dalam satu kejadian petang ini.

Mayat Alisa Mohd Nasir, 5, dan rakannya Nor Akilah Mansor, 6, ditemui penduduk kampung di dasar tali air sedalam kira-kira 1.5 meter pukul 3 petang ini.

Ibu Alisa, Rosmuna Husin, 43, berkata, dia menghantar Alisa, anak bongsu daripada empat beradik bertemu bapanya yang bekerja membaiki rumah jiran tidak jauh dari rumahnya sebaik dia balik dari kelas tadika.

Katanya, tidak lama kemudian Alisa balik bersama Nor Akilah yang berjiran dengannya tetapi mereka keluar semula kira-kira pukul 1 tengah hari untuk bermain.

"Tiba-tiba saya merasa bimbang dan mula mencari mereka tetapi tidak bertemu lalu meminta bantuan penduduk. Apabila menemui dua pasang kasut kanak-kanak di tali air yang cuma 20 meter dari rumah, hati saya bagaikan luluh," katanya semasa ditemui pemberita, petang ini.

Mayat kedua-dua kanak-kanak itu ditemui penduduk kampung di dasar tali air yang agak deras itu kira-kira pukul 3 petang dan dihantar ke Hospital Jitra untuk bedahsiasat.

Seorang penduduk kampung, Yusof Awang berkata, dia ternampak kelibat kanak-kanak itu dari rumahnya tidak jauh dari tempat mereka bermain sebelum mendengar jeritan meminta tolong.

"Saya bersama orang ramai membantu mencari dalam tali air yang agak deras kerana mengesyaki mereka tergelincir dan terjatuh ke dalamnya," katanya.

Jurucakap polis daerah Kubang Pasu yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain