suria

UPP Tahan Lori Seludup 36 Tan Beras Siam

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 36,000 kilogram beras wangi dari Thailand selepas menahan sebuah treler di Jitra, kira-kira pukul 7.30 petang semalam.

Komandernya, Mohd Noor Idris berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 31 tahun yang berasal dari Kuala Kurau, Perak, yang merupakan pemandu, semasa treler itu berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jitra.

Beliau berkata, empat anggota UPP Kuala Kedah diketuai Komandernya, Wan Mazlan Endut mengekori treler tersebut sebaik sahaja ia melepasi pemeriksaan kastam di Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam, selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan itu.

"Apabila diperiksa, pasukan itu menjumpai 720 kampit beras wangi bernilai kira-kira RM72,000 dan cukai yang cuba dielak dianggarkan RM28,800," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pemandu treler itu juga gagal menunjukkan dokumen import beras dari Thailand, selain menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu, yang tidak sama dengan nombor cukai jalan.

Mohd Noor berkata, treler itu dibawa balik ke pangkalan kastam Bukit Kayu Hitam dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam yang akan mengambil tindakan lanjut, dan menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang kawalan.

Sabit kesalahan boleh didenda minima 10 kali dan maksima 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain