suria

Renjer Hutan Hilang Sejak 9 Hari Di Hutan Simpan Lungmanis

SANDAKAN: Seorang renjer hutan Jabatan Perhutanan Sabah dilapor hilang sejak sembilan hari lepas setelah memasuki Hutan Simpan Lungmanis di Jalan Sandakan-Telupid.

Laporan mengenai kehilangan Alisius Piging Ampin, 51, dibuat oleh adik perempuannya Jelinah Ampin, 46, di Balai Polis Ulu Dusun di Batu 30 Jalan Sandakan-Telupid dekat sini hari ini.

Jelinah yang ditemui selepas membuat laporan polis itu berkata, abangnya memasuki Hutan Simpan Lungmanis bagi memantau kerja pembersihan tanah untuk pertanian berhampiran hutan simpan itu pada 4 Mei lepas.

Beliau berkata, dia hanya mengetahui kehilangan abangnya itu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan setugas abangnya pada Ahad lepas iaitu selepas lima hari dia hilang di dalam hutan simpan itu.

Beberapa rakan setugas Alisius melancarkan gerakan mencari tetapi belum berhasil, katanya.

Beliau berkata, cubaan untuk menghubungi Alisius menerusi telefon bimbitnya juga gagal apabila panggilan itu tidak dijawab. - BERNAMA

Artikel Lain