suria

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Bekas Pengurus Bank Semak Semula Penghakiman

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengurus bank, yang mencabar kesahan hukuman sebat serta hukuman lain yang dikenakan terhadapnya kerana kesalahan pecah amanah, gagal meyakinkan Mahkamah Rayuan di sini hari ini bagi menyemak semula hukuman itu atas alasan ia merupakan penindasan gender.

Hakim-hakim Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk T. Selventhiranathan menolak permohonan Azlan Alias selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi menyemak semula kes yang telah dibuat penghakiman olehnya.

Berikutan keputusan itu, hukuman penjara tiga tahun dan tiga kali sebatan yang dikenakan terhadap Azlan, 49, oleh Mahkamah Majistret Kota Baru tujuh tahun lepas kerana kesalahan berkenaan, dikekalkan.

Azlan memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya disemak semula dengan mencabar kesahan hukuman sebat, yang didakwanya, bercanggah dengan peruntukan berhubung persamaan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Azlan berkata, dia perlu diberi perlindungan seperti yang diberi kepada seseorang wanita memandangkan Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah melarang hukuman sebat dikenakan terhadap wanita. Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azlan, dalam penghujahannya berkata Mahkamah Rayuan boleh menggunakan bidang kuasa "selebihnya" yang ia miliki bagi mendengar permohonan semakan semula itu bagi memperbetulkan suatu ketidakadilan yang wujud.

Katanya, permohonan itu tidak tergolong dalam syarat mengenai kebenaran mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan tindakan mencabar sama ada sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan perlembagaan, boleh dibuat pada mana-mana peringkat, tanpa memerlukan kebenaran Mahkamah Persekutuan.

Timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud membalas hujah itu dengan berkata, kuasa untuk mengisytiharkan bahawa undang-undang tertentu adalah bercanggah dengan perlembagaan tidak terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, Azlan sepatutnya memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan sebelum dia boleh mencabar kesahan pelaksanaan hukuman sebat di sisi perlembagaan.

Azlan, bekas pengurus Bank Pertanian Malaysia Cawangan Machang, didapati bersalah melakukan pecah amanah RM304,000 di bank berkenaan antara 6 Julai dan 9 Julai 1997.

Sebelum ini, rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi Kota Baru dan Mahkamah Rayuan. - BERNAMA

Artikel Lain