suria

Kembali Hayati Semangat Pejuang Umno Dahulu - Najib

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak semalam menyeru ahli-ahli parti supaya kembali kepada semangat jitu dan gigih seperti pemimpin-pemimpin yang terdahulu.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti politik setiap ahli Umno perlu ada kesedaran dan keinsafan bahawa parti itu masih belum berada di tahap yang bebas dari sebarang ancaman.

"Umno sudah wujud dan jadi parti pemerintah selama 45 tahun dan sudah menang 12 pilihan raya umum pasca merdeka dan kini kita berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Setiap ahli Umno perlu mengambil iktibar daripada perjuangan pejuang-pejuang Umno dahulu.

“Jika ini semangat yang ada pada setiap pejuang sama ada yang lama atau yang baru, sama ada generasi angkatan 46 atau pun angkatan muda pada hari ini. Parti Umno akan terus menjadi parti yang dihormati dan disegani,” katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 2,000 tetamu sempena Ulangtahun ke-64 Umno di Dewan Merdeka di sini malam tadi.

Beliau berkata jika pilihan raya kecil sebelum ini menjadi kayu ukur sokongan orang Melayu kepada Umno ia ternyata semakin bertambah berbanding sebelumnya.

Tambahnya, dalam Umno kini lebih meyakinkan kerana orang Melayu sudah kembali kepada Umno.

Selain itu, kata beliau, tahap sokongan kepada parti itu lebih menyerlah berbanding sebelum ini.

"Ini membuktikan usaha yang kita lakukan, prakasa yang kita gunakan dan segala yang dilaksanakan telah membuahkan hasil yang lebih meyakinkan.

"Jadi sempena sambutan Umno ke-64 hari ini kita akan lebih optimis pada masa depan," tegas beliau.

Perdana Menteri berkata, Umno tidak boleh menjadi parti yang terperangkap dengan golongan tertentu tetapi perlu memberikan fokus kepada rakyat yang merupakan kunci kemenangan.

"Pemimpin-pemimpin Umno perlu sentiasa dekat dengan rakyat sepanjang masa. Masa ini kita perlu tunjuk bahawa Umno adalah parti yang berjuang untuk rakyat.

"Kita perlu buktikan bahawa kita memperjuangkan kepentingan rakyat sepanjang masa, jangan tunggu ketika pilihan raya baru nak muncul," katanya.

Artikel Lain