suria

Kebakaran Pejabat Timbalan Setiausaha Tidak Jejas Operasi MPS

SANDAKAN: Kebakaran pejabat Timbalan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak menjejaskan operasi perkhidmatan di Bangunan Wisma Perbandaran itu.

Presiden MPS, Ir James Wong berkata, warga MPS masih menjalankan tugas seperti biasa dan bilik berkenaan pada masa sekarang ditutup sementara menunggu siasatan selesai dijalankan oleh pihak bomba.

"Orang ramai masih boleh meneruskan urusan mereka di pejabat MPS seperti biasa pada waktu pejabat," katanya di sini hari ini.

Beliau menyerahkan kepada pihak bomba bagi mengenal pasti punca kebakaran itu dan pada masa sekarang pihaknya sedang dalam kerja mengubah suai lampu sebagai mematuhi langkah keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam semalam, pejabat Jeffry Aman di tingkat satu Wisma berkenaan musnah dalam kebakaran tersebut yang memusnahkan keseluruhan bilik pejabat termasuk fail-fail.

Hari ini, Unit Siasatan Kebakaran dan Forensik Bomba dan Penyelamat dari Kota Kinabalu berada di tempat kejadian bagi melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran. - BERNAMA

Artikel Lain