suria

Dua Warga Afrika Disyaki Pengedar Dadah Ditahan Di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki rakyat Afrika di sekitar Bukit Bintang di sini yang dipercayai anggota sindiket pengederan dadah antarabangsa dan merampas 3.1 kilogram heroin tulen bernilai RM240,000 pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, lelaki berusia 22 tahun dan 28 tahun itu diberkas pada 8 Mei dan polis menemui dadah itu dalam sebuah beg pakaian yang dibawa oleh seorang daripada mereka.

"Kita percaya mereka baru sahaja menerima beg tersebut dari seseorang di kawasan itu dan kita sedang kenal pasti orang berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kang berkata, suspek berusia 28 tahun itu telah masuk ke negara ini sejak tiga tahun lalu dan baru mendaftarkan diri di sebuah kolej swasta untuk meneruskan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan manakala suspek berusia 22 tahun dan positif ganja itu pula merupakan pelajar jurusan yang sama di kolej itu sejak setahun lepas.

"Kita sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ini, pasaran mereka dan punca dadah diperoleh oleh suspek ini," katanya.

Kang berkata, sehingga Mac ini, seramai 192 orang warga asing termasuk 14 warga Afrika ditahan berhubung penglibatan dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah. - BERNAMA

Artikel Lain