suria

Budak Lelaki Parah, Rumah Dihempap Pokok Durian

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun parah apabila rumahnya dihempap sebatang pokok durian yang tumbang akibat angin kencang di Kampung Karamunting dekat sini hari ini.

Mohammad Nur Amrizan Hamjaraja cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Keadaannya dilapor stabil.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu turut memusnahkan ruang tamu rumah yang didiami keluarga itu.

"Ketika kejadian ibu, bapa dan abang mangsa yang berusia tiga tahun berada di bahagian dapur rumah. Kesemua mereka tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, dua jentera bersama 10 anggota bomba dan penyelamat dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.12 petang. - BERNAMA

Artikel Lain