suria

Seorang Penjenayah Cedera Ditembak Ketika Cuba Samun Warga Emas

JOHOR BAHARU: Seorang dari empat penjenayah cedera ditembak polis selepas cuba menyamun seorang warga emas yang baru mengeluarkan wang dari bank, di Taman Pelangi, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.40 petang ketika warga emas itu, seorang lelaki berumur 68 tahun, yang membawa wang sebanyak RM14,000, menuju ke kenderaannya.

"Salah seorang dari empat penjenayah terus meluru ke arah lelaki itu dan menyerangnya. Kejadian itu disedari seorang anggota polis yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan terus membantu mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Mokhtar berkata penjenayah itu bagaimanapun terus menyerang warga emas tersebut dan anggota polis itu sebelum tiga rakan penjenayah berkenaan datang menyerang kedua-dua mangsa.

Beliau berkata anggota polis itu yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah keempat-empat penjenayah itu sebelum tembakan berkenaan mengenai salah seorang penjenayah terbabit.

Katanya, penjenayah yang cedera itu, berumur 30an dan dipercayai rakyat negara jiran, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini manakala tiga lagi rakannya dapat melarikan diri dengan menggunakan dua motosikal tanpa mendapat sebarang hasil samun.

Warga emas itu, katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat dengan beberapa rompakan sebelum ini termasuk kejadian rompakan terbaru, membabitkan wang sebanyak RM57,000, minggu lepas," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, siasatan juga mendapati keempat-empat penjenayah itu dipercayai menginap di hotel bajet di negeri ini sebelum melakukan rompakan.

Kes berkenaan, katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan. - BERNAMA

Artikel Lain