suria

Polis Tumpas Kumpulan Pakar Pecah Masuk Kedai Emas

IPOH: Polis menumpaskan sebuah kumpulan "pakar" pecah masuk kedai emas dengan penangkapan lima lelaki semasa mereka sedang sibuk memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Ipoh Jaya di sini kelmarin.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata lima lelaki itu yang berumur antara 37 hingga 51 diberkas pada kira-kira 1 pagi Ahad.

Kumpulan itu dipercayai telah memecah masuk 15 buah kedai emas di Perak, Selangor, Pahang dan Kelantan sejak dua tahun lepas dan melarikan barang kemas bernilai lebih RM10 juta, katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Zulkifli berkata polis merampas pelbagai peralatan memecah dinding dan memotong besi daripada kumpulan berkenaan selain empat buah kereta.

Antara peralatan yang dirampas ialah dua tabung gas untuk kimpalan, mesin penebuk dinding, mesin pemotong kabel dan cakra pemotong besi pelbagai saiz.

"Mereka tertangkap hasil maklumat yang diterima daripada orang ramai...dua daripada mereka telah masuk ke dalam kedai emas berkenaan selepas memecah dinding dari kedai sebelah," katanya.

Katanya, sepasukan polis mengepung kawasan berkenaan sebaik menerima maklumat daripada orang ramai dan semasa serbuan dilakukan dua daripada lelaki itu berada di dalam kedai emas manakala tiga lagi cuba lari tetapi dapat ditangkap.

Zulkifli berkata kumpuan itu terkenal dengan modus operandi menebuk dan menggerudi dinding melalui premis bersebelahan kedai emas yang menjadi sasaran.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit berasal dari Selangor dan salah seorang daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah seperti mencuri, merompak dan samun.

Katanya, polis sedang menyiasat sama ada terdapat lagi saki baki anggota kumpulan berkenaan.

Mereka ditahan reman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain