suria

Polis Tahan Tiga Lelaki 'Geng Gas'

KUANTAN: Polis memberkas tiga lelaki anggota "Geng Gas" kurang 24 jam selepas mereka melakukan samun bersenjata di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, Panching, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, tiga lelaki lingkungan usia 30 dan 40-an berkenaan, yang dipercayai warga asing, ditahan di kawasan hutan dekat Felda itu pada pukul 12 tengah hari dan 4.30 petang.

Katanya, pihak polis dengan kerjasama penduduk setempat menjalankan operasi menjejak kumpulan penyamun terbabit sebaik saja menerima laporan daripada mangsa.

Dalam kejadian 3.30 pagi semalam, empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan disamun tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

"Kita berjaya menahan seorang suspek pukul 12 tengah hari semalam ketika cuba melarikan diri dan bersamanya kita temui barangan yang disamun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ekoran tangkapan itu, dua lagi suspek diberkas pada pukul 4.30 petang dan polis menemui kesemua barangan yang dicuri daripada mangsa.

Antara barangan tersebut, katanya wang tunai berjumlah RM48,000, barang kemas, jam tangan, sebuah komputer riba, lima telefon bimbit dan kad nilai pra-bayar bernilai RM200 dan kesemuanya dianggarkan berjumlah RM150,000.

"Suspek itu direman bermula semalam di mana dua daripada mereka ditahan reman di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan kerana mendapat kecederaan terkawal ketika tangkapan," katanya.

Sharifuddin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kumpulan itu terlibat dengan kes-kes samun lain di daerah ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun bersenjata secara berkumpulan. - BERNAMA

Artikel Lain