suria

Polis Selangor Tubuh Pasukan Khas Siasat Insiden Lelaki Terkena Peluru Sesat

KUALA LUMPUR: Polis Selangor telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang penduduk cedera akibat terkena peluru sesat dalam satu kejadian amuk di Kuala Selangor, dua hari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata pasukan khas, yang diketuai oleh seorang pegawai kanan, akan melihat dari semua aspek termasuk sama ada langkah keselamatan diambil oleh anggota polis yang melepaskan tembakan.

Katanya empat anggota polis yang terbabit dalam insiden itu hanya menjalankan tugas dan tiada sebab untuk menggantungkan kerja mereka.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku tetapi ini bukan perkara yang boleh dipolitikkan atau membuat andaian sehingga mengganggu siasatan serta menanam sikap benci orang awam terhadap polis," katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas melawat S. Surentiran, 22, yang terkena tembakan peluru sesat di bahagian dada kiri, di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, seorang bekas komando berusia 48 tahun, dipercayai kurang siuman, cedera ditembak ketika mengamuk dengan sebilah pisau rambo selepas mencederakan seorang pegawai JAIS di bahagian betis kiri.

Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah bekas komando itu dan satu daripanya terkena dada kiri Surentiran yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Bekas komando itu cedera ditembak di rusuk, lutut dan jari kaki kiri dan keadaannya stabil di hospital berkenaan.

Khalid berkata semua pihak termasuk ahli politik diminta untuk tidak membesar-besarkan insiden itu sehingga boleh mengelirukan orang ramai dan menanam sifat bencikan pihak polis.

"Malah pihak polis akan mengambil langkah yang sewajar bagi membendung kejadian seumpama itu daripada berulang pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain