suria

Najib Setuju Dialog Dengan MCA - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Barisan pemimpin MCA akan mengadakan perjumpaan dan dialog dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelbagai isu kepentingan masyarakat Cina di negara ini.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Perdana Menteri telah bersetuju untuk perjumpaan tersebut tetapi tarikh belum ditetapkan.

Katanya MCA juga mengemukakan memorandum kepada Najib berhubung pelan Rancangan Malaysia Ke-10 merangkumi bidang ekonomi, budaya, pendidikan, rasuah, sistem kehakiman dan agama bukan Islam.

Dr Chua berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden MCA di Wisma MCA di sini hari Selasa.

Selain itu, katanya, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar premium insurans motor pihak ketiga.

Katanya parti itu berpendapat sebalik menaikkan kadar premium, syarikat insurans harus memberi subsidi silang kepada pelanggan insurans pihak ketiga.

Katanya pada 2008, syarikat insurans mengumpul premium berjumlah RM581 juta dari insurans pihak ketiga dan tuntutan adalah RM1.5 bilion manakala mengumpul RM4.2 bilion dari insurans komprehensif dengan tuntutan RM2.5 bilion.

"Ini bermakna bagi insurans komprehensif, syarikat masih mendapat keuntungan RM1.7 bilion dan mereka perlu memberi subsidi silang berbanding meletakkan beban kepada pelanggan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua meminta kerajaan menjalankan kajian menyeluruh mengenai kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam semua sektor ekonomi.

"Pada waktu sama kita mengakui terdapat kebanjiran pekerja asing di negara ini tetapi tidak dapat menafikan bahawa kita bergantung kepada mereka," katanya.

Dalam hal lain, Dr Chua berkata beliau tidak kisah dengan insiden di Machap minggu lepas di mana setiausaha Pemuda Bahagian Alor Gajah, Chai Ming Swee, memegang sepanduk membantah kepimpinannya ketika beliau menyampaikan ucapan di sebuah sekolah.

"Saya tidak tahu membaca bahasa Cina, jadi saya ingat dia menunjukkan sokongan kepada saya...jadi saya meneruskan ucapan saya.

"Ini adalah hak dia untuk meluahkan pendapatnya mengenai kepimpinan saya tetapi sekurang-kurangnya dia harus memberi sedikit hormat kepada saya kerana saya dilantik oleh perwakilan pusat menerusi pemilihan," katanya.

Menurutnya beliau tidak tahu mengenai dakwaan Chai bahawa dia telah dipukul.

Katanya semua menteri dan timbalan menteri dari MCA telah diberi tugas untuk berkempen secara bergilir pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Lain