suria

Dadah Bernilai RM57,000 Dirampas

PETALING JAYA: Berselindung di sebalik kawasan rumahnya yang agak terpencil daripada pandangan masyarakat, seorang pengedar dadah ligat menjalankan aktiviti jenayah terbabit sejak setahun lepas di kawasan bandar raya ini hingga mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sebulan.

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, apabila sepasukan polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berjaya memberkas lelaki tempatan beumur 35 tahun itu dalam satu serbuan Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, suspek berjaya ditahan ketika sedang berehat di rumah sewanya di Jalan PJS 1/52, Petaling Jaya, kira-kira pukul 9.45 malam.

"Suspek menunjukkan sebuah beg yang berisi 10 ketul ganja mampat seberat 10 kilogram dan dua paket heroin seberat 840 gram yang kesemua dadah itu bernilai RM57,000.

"Turut dirampas gari yang dipercayai digunakan ketika penyamaran sebagai polis dan pisau," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya siasatan lanjut mendapati suspek telah mengedar dadah di kawasan sekitar Petaling Jaya ini sejak setahun lepas dan menyembunyikan diri dari pandangan polis di kawasan rumah berkenaan walaupun suspek mampu menyewa di kawasan elit berbekalkan keuntungan yang diperolehi.

Menurutnya polis masih menyiasat modus operandi yang digunakan suspek bagi mengedar dadah berkenaan dan tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam aktiviti jenayah lain.

Arjunaidi berkata suspek yang positif dadah itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain