suria

Bekas CEO Mengaku Tak Bersalah Menipu RM4 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P. Chitrakala mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa terhadap tiga pertuduhan menipu dengan menggunakan tiga keping cek bernilai RM4 juta.

Chitrakala, 39, didakwa dengan curangnya telah menipu Tan Sri M.Mahalingam, 74, pengarah syarikat dan juga sebagai penandatangan cek kepada MIED Sdn Bhd dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa bayaran sebanyak RM1 juta kepada syarikat Silver Line Services Sdn Bhd sebagai bayaran balik kepada pinjaman kepada Tan Sri Abdul Rashid Manaf, 64.

Perbuatan Chitirakala itu telah mendorong Mahalingam untuk menandatangani sekeping cek Bumiputera Commerce, dengan bekas bendahari agung MIC tidak akan melakukannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Dia yang berasal dari Shah Alam, didakwa melakukan kesalahan itu di MIED, Menara Manickavasagam, pada 9 Jan 2007.

Ibu kepada dua orang anak itu juga turut didakwa terhadap dua pertuduhan sama, masing-masing melibatkan RM1 juta dan RM2 juta, di tempat yang sama, pada 30 Januari dan 3 Mei 2007 kepada orang yang sama.

MIED merupakan cabang pendidikan parti MIC.

Bagi kesemua kesalahan itu, Chitirakala didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin atas alasan jumlah yang terlibat adalah besar dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan menunjukkan kesalahan dan hukuman yang serius.

Peguam bela, Saseedharan Menon yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah supaya mengurangkan wang jaminan memandangkan anak guamnya telah membantu sepanjang siasatan polis.

Bagaimanapun, Kevin membantah dengan alasan beliau menerima laporan bahawa tertuduh tidak bekerjasama dan gagal menghadirkan diri ketika siasatan dilakukan ke atas dirinya.

Hakim Azizah Mahamud mengekalkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan kemudian menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan kes dan bagi pihak pendakwaan membekalkan kesemua dokumen yang diperlukan oleh pihak pembelaan. - BERNAMA

Artikel Lain