suria

Agihan Komputer Dapat Bantu Capai 50 Peratus Penembusan Jalur Lebar Tahun Ini

SIBU: Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini dengan pengedaran satu juta unit komputer dan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan di negara ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengagihkan komputer dan komputer riba tersebut secara berperingkat.

Kadar penembusan jalur lebar di negara ini sekarang telah mencatatkan 35 peratus, katanya ketika menghadiri majlis perjumpaan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari.

"Langkah ini merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat dalam bidang teknoloji komunikasi dan maklumat (ICT) dan meletakkan nama negara di persada antarabangsa dari segi penggunaan ICT yang meluas," katanya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk mengagihkan komputer dan komputer riba kepada pelajar yang kurang mampu di negara ini.

Pada perjumpaan itu, Rais menyampaikan 10 unit komputer kepada persatuan dan NGO di sini. - BERNAMA

Artikel Lain