suria

Syarikat Swasta Disaran Tidak Kenakan Syarat Kuasai Bahasa

TEMERLOH: Syarikat-syarikat swasta disaran tidak menetapkan syarat yang terlalu ketat seperti perlu menguasai bahasa tertentu dalam pengambilan pekerja mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata syarat terlalu ketat hanya akan menyebabkan ramai di kalangan rakyat negara ini khususnya lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak berpeluang untuk bekerja walaupun mereka mempunyai kemahiran dan berpendidikan tinggi.

"Majikan pihak swasta sepatutnya harus lebih bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara dalam mengambil pekerja bagi membantu kerajaan mengatasi masalah pengangguran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Model Ekonomi Baru Peringkat Daerah Temerloh di sini, malam tadi.

Beliau berkata majikan tidak seharusnya mengambil kira kepentingan tertentu sebaliknya perlu memikirkan mutu kerja individu itu yang boleh meningkatkan hasil syarikat dan negara.

Saifuddin berkata syarikat di negara maju seperti Jepun lebih mementingkan individu berkemahiran berbanding penguasaan bahasa dalam pengambilan pekerja.

Majikan di negara itu berpendapat bahawa kemahiran dan kepakaran merupakan aset penting bagi meningkatkan kualiti dan prestasi syarikat mereka, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain