suria

Polis Terengganu Tumpas Kegiatan Pengedaran Ubat Batuk

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran ubat batuk terbesar di negeri ini hasil penahanan dua lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kolam, Mengabang Telipot dekat sini Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata dalam serbuan kira-kira 1.10 tengah hari itu sebanyak 100 liter ubat batuk bernilai lebih RM10,000 yang diisi dalam 25 tabung plastik putih dan disembunyikan dalam tandas di rumah itu berjaya dirampas.

"Ia merupakan rampasan yang terbesar oleh JSJN Terengganu dalam tempoh tiga tahun dan kita percaya kedua-dua lelaki berkenaan merupakan pembekal ubat batuk di sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata semasa serbuan dilakukan seorang daripada mereka yang bersembunyi di bahagian bilik cuba melarikan diri melalui bahagian dapur, namun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan polis menemui seorang lagi rakannya yang bersembuyi dalam tandas di rumah itu.

Katanya kedua-dua lelaki masing-masing berumur 27 dan 32 tahun, yang bekerja sebagai buruh, merupakan penagih dadah jenis pil kuda dan mereka menjadikan ubat batuk sebagai alternatif kepada pil itu.

"Permintaan ubat batuk adalah tinggi berikutan penagih-penagih tidak mampu membeli bekalan dadah dan ubat batuk dijadikan gantian sebab harganya lebih murah," katanya.

Katanya siasatan awal juga mendapati salah seorang daripada lelaki yang ditangkap itu merupakan bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi di utara yang terkandas dalam pengajiannya.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 13 Mei ini untuk didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain