suria

Polis Rampas Selaras Senapang Angin Daripada Penagih Dadah

BESUT: Polis menahan 16 penagih dadah termasuk seorang yang memiliki selaras senapang angin dalam Ops Tapis Bersepadu di sekitar daerah Hulu Besut, malam Sabtu lepas sehingga pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata senapang angin buatan sendiri dirampas daripada salah seorang suspek berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai buruh, di rumahnya di Kampung Pak Sik, Keruak dekat sini.

"Hasil pemeriksaan, polis turut menemui 10 biji pil kuda dan wang tunai RM1,509 dipercayai hasil jualan dadah daripada suspek juga seorang penagih dadah," katanya.

Kamaruddin berkata polis telah memburu suspek itu sejak tahun lepas, namun gagal kerana dia merupakan penjenayah yang licik dan sering dapat memboloskan diri ketika usaha untuk menahannya dilakukan.

Katanya, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 12 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Akta Senjata Api kerana memiliki senjata api.

Menurutnya dalam operasi yang bermula dari jam 12 tengah malam Sabtu hingga 8 pagi semalam itu, polis turut menahan seorang pembantu am yang bertugas di sebuah agensi kerajaan atas kesalahan menagih dadah.

Penjawat awam berusia 27 tahun itu berjaya ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, katanya.

Katanya, 16 orang yang ditahan itu berumur antara 24 hingga 42 tahun, tiga daripada mereka termasuk suspek yang memiliki senjata api itu disiasat di bawah Seksyen 12(1) kerana memiliki dadah dan 13 orang lagi di bawah Seksyen 15(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi seperti ini akan dilakukan secara berterusan bagi menurunkan kadar jenayah indeks di daerah ini yang didapati banyak disumbangkan oleh penagih dadah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain