suria

Polis Pulau Pinang Rampas Heroin Bernilai RM100,000

PULAU PINANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 1,921 gram heroin bernilai RM100,000 dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Greenlane di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata lelaki berumur sekitar 30-an itu ditahan pada kira-kira pukul 3.15 petang oleh satu pasukan dari bahagian anti dadah Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri.

"Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios dan barang kemas bernilai RM3,000 daripada suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menyiasat sekiranya suspek terbabit dengan satu sindiket mengedar dadah, atau beroperasi secara berseorangan.

Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, dan lelaki itu akan ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain