suria

Pasport Diperoleh Dalam Tempoh 1 Jam Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Bermula esok orang ramai boleh mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dalam tempoh satu jam selepas pembayaran dibuat, berbanding dua jam sebelum ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman.

"Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan yang mahu setiap proses permohonan dokumen berkenaan dipercepatkan dan dikeluarkan dalam tempoh satu jam," katanya kepada Bernama di sini hari Isnin.

Katanya perkhidmatan tersebut boleh diperolehi di beberapa pejabat cawangannya yang terpilih di seluruh negara.

"Kita ada 37 pejabat seluruh negara, buat masa ini kita laksanakan di 25 pejabat cawangan kita dulu sebab di pejabat besar kita seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kena buat persediaan mungkin kena tambah pekerja dulu dan peralatan untuk cepatkan proses pengeluaran," katanya.

Antara pejabat-pejabat imigresen yang akan menawarkan perkhidmatan itu esok adalah Alor Setar, Kulim, Bukit Kayu Hitam, Langkawi dan Sungai Petani di Kedah.

Di Johor pula boleh didapati di pejabat cawangannya di Muar, Mersing, Kukup dan Segamat. Di Pahang ia boleh didapati di Kuantan, Raub dan Temerloh.

Sementara di Perak pula, perkhidmatan boleh didapati di pejabatnya di Lumut, Teluk Intan, Pengkalan Hulu dan Taiping.

Pejabat cawangan-cawangan lain yang menawarkan perkhidmtan itu ialah di Kota Bharu, Kangar, Kuala Terengganu, Tawau, Sandakan, Bintulu, Sibu, Limbang serta Miri.

Abdul Rahman berkata bagi pejabat cawangannya di lokasi lain, perkhidmatan tersebut akan ditawarkan dalam fasa kedua yang akan dilaksanakan kelak. - BERNAMA

Artikel Lain