suria

Mayat Lelaki Rentung Dalam Perdana Pegawai TLDM Yang Dicuri

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui rentung dalam bonet sebuah kereta Perdana berwarna hitam yang terbakar di kawasan Ladang Sawit Elmina, Sungai Buloh dekat sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah berkata mayat lelaki tempatan itu ditemui selepas bomba selesai memadamkan kebakaran kereta itu.

"Identiti lelaki itu sukar dikesan kerana keseluruhan badannya hangus terbakar.

"Polis turut menemui kad pengenalan yang terbakar dipercayai milik mangsa dan Bahagian Forensik sedang mengesan cip kad itu bagi membantu mengenalpasti identiti mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh menerima panggilan mengenai kebakaran kereta itu pada pukul 1 pagi.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan lanjut terhadap chasis kereta terbabit mendapati ia milik pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilapor hilang pada 12 April lepas.

Kereta milik Asisten Ketua Staff Pengurusan Strategi Bahagian Pengurusan Tentera Laut Wisma Pertahanan, Laksamana Pertama Datuk Rosli Idrus itu dilapor hilang ketika diletakkan berhampiran parkir sebuah restoran pada pukul 12.45 pagi.

Abdul Rahim berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya tampil ke hospital terbabit bagi mengecam identiti mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain